Friday, January 28, 2011

waNita :D

Wanita solehah merupakan calon penghuni syurga, menjadi dambaan insan yang beriman bagaikan teratai mekar di tasik madu.Keindahan akhlaknya,sopan tatasusilanya,lembut budi bicaranya memancarkan keluhuran nurani, menyejukkan hati dan penyeri budi pekerti. Ucapannya menepis fitnah dan kemungkaran, membuahkan hikmah umpama senandung rindu syair keinsafan.


Setiap nasihat dan wasiat yang disampaikan Rasulullah menjadi pelita dalam kehidupan seorang wanita solehah. Buaian nafsu dan kenikmatan dunia bagaikan biasan cahaya yang tidak meninggalkan bekas dalam sanubarinya. Kezuhudannya tersimpan rapi dalam mahligai impian untuk dinikmati dalam taman-taman syurgawi.

Buat kaum Adam,pilihlah teman hidupmu sebagaimana hadis Rasulullah s.a.w berikut:

1)Sabda Rasululah saw:
"Sebaik-baik wanita ialah wanita (isteri) yang apabila engkau memandang kepadanya ia menggirangkan engkau,jika engkau memerintah ditaatinya perintah engkau(taat) dan jika engkau berpergian dijaga harta engkau dan dirinya".
2)Sabda Rasulullah saw:
"Dunia yang paling aku sukai ialah wanita solehah".
3)Sabda Rasulullah saw:
"Siapa sahaja seorang isteri bermuka muram di hadapan suaminya,maka ia dalam kemurkaan Allah swt hingga ia dapat membuat suasana yang riang gembira kepada suaminya dan memohon kerelaannya."

Hadis ni pulak menganjurkan agar pilihlah isteri yg dapat kekalkan amalannya dgn menyambut kepulangan suami dengan air muka gembira dan dengan senyuman serta wajah yang semanis mungkin agar senyuman yang kita berikan ketika itu dapat menghilangkan sebahagian daripada keletihan suami.Elakkan dari cari isteri yg bersikap acuh tak acuh pada suami,bermasam muka ataupun melepaskan `peluru berpandu' bila suami terjongol di muka pintu.Haa....kalau isteri macam ni alamatnya, suamilah yg bakal dicontrol suatu hari nanti.

Kebahagiaan rumahtangga terletak pada akhlak dan budipekerti isteri.Biarpun seorang isteri itu tidak cantik tapi jika cukup sempurna layanannya terhadap suami dan berakhlak pula,tentu ia akan menjadi penghibur dalam rumahtangga.

Saidatina 'Aisyah r.a meriwayatkan: Bahawa Rasulullah s.a.w (mafhumnya), "Hai 'Aisyah, aku berwasiat kepada engkau. Hendaklah engkau senantiasa mengingati wasiatku ini. Sesungguhnya engkau akan senantiasa di dalam kebajikan selama engkau mengingati wasiatku ini".

Intisari wasiat Rasulullah s.a.w tersebut dirumuskan seperti berikut:
Hai, Aisyah, peliharakanlah diri engkau. Ketahuilah bahawa sebahagian besar daripada kaum engkau (kaum wanita) adalah menjadi kayu api di dalam neraka.

Antara sebab-sebabnya ialah kerana mereka itu:
(a) tidak dapat menahan sabar dalam menghadapi kesakitan (kesusahan) - apabila dibalakan tidak bersabar;
(b) tidak memuji Allah Taala di atas kemurahan-Nya (mensyukuri nikmat);
(c) mengkufurkan nikmat;
(d) membanyakkan kata-kata yang sia-sia;

Wahai Aisyah, ketahuilah:
(a) bahawa wanita yang menidak-nidakkan kebajikan (kebaikan) yang diberikan oleh suaminya akan digugurkan oleh Allah Taala amalannya.
(b) bahawa wanita yang menyakiti hati suaminya dengan lidahnya maka pada hari kiamat, Allah menjadikan lidahnya tujuh puluh hasta dan dibelitkan di tengkuknya.
(c) bahawa isteri yang memandang jahat (menuduh atau menaruh sangkaan buruk terhadap suaminya), Allah akan menghapuskan muka dan tubuhnya pada hari kiamat.
(d) bahawa isteri yang tidak memenuhi kemahuan suami- nya (yang harus / halal) di tempat tidur atau menyusahkan urusan ini atau mengkhiananti suaminya, akan dibangkitkan Allah pada hari kiamat dengan muka yang hitam, matanya kelabu, ubun-ubunnya terikat kepada dua kakinya di dalam neraka.
(e) bahawa wanita yang mengerjakan sembahyang dan berdoa untuk dirinya tetapi tidak untuk suaminya, akan dipukul mukanya dengan sembahyangnya.
(f) bahawa wanita yang dikenakan bala ke atasnya lalu dia menampar-nampar mukanya atau mencarik-carikkan pakaiannya, dia akan dimasukkan ke dalam neraka bersama dengan isteri nabi Nuh dan isteri nabi Lut dan tiada harapan mendapat kebajikan syafaat daripada sesiapa pun.
(g) bahawa wanita yang berzina akan diderakan di di hadapan segala makhluk di hadapan neraka pada hari kiamat - tiap-tiap perbuatan zina dengan delapan puluh cemeti daripada api.
(h) bahawa isteri yang mengandung itu adalah baginya pahala seperti berpuasa pada siang harinya dan mengerjakan qiamullail pada malamnya serta pahala berjuang fi sabilillah.
(i) bahawa isteri yang bersalin, bagi tiap-tiap kesakitan yang dideritainya diganjari pahala memerdekakan seorang sahaya. Demikian juga pahalanya setiap kali menyusukan anaknya;
(j) bahawa wanita apabila bersuami dan bersabar daripada menyakiti suaminya, maka samalah dengan titik-titik darah dalam perjuangan fi sabilillah. Dialah antara wanita-wanita yang qanitat (banyak beribadat kepada Allah).

MUDAH2AN KITA KAN JADI MUSLIMAH SEJATI YG MENGIDAMKAN SYURGA ALLAH...INSYAALLAH..

Nasihat Khusus buat Wanita..

Untuk membentuk bibir yang menawan,
Ucapkan kata-kata kebaikan
Untuk mendapatkan mata yang indah,
Carilah kebaikan pada setiap orang yang anda jumpai

Untuk mendapatkan bentuk badan yang langsing,
Berkongsilah makanan dengan mereka yang kelaparan
Untuk mendapatkan rambut yang indah
Mintalah seorang anak kecil untuk menyisirnya dengan jemarinya setiap hari

Untuk mendapatkan susuk tubuh yang indah,
Berjalanlah dengan segala ilmu pengetahuan,
Dan anda tidak akan pernah berjalan sendirian.
Manusia jauh melebihi segala ciptaan lain,
Perlu senantiasa berubah, diperbaharui, dibentuk kembali, dan diampuni.
Jadi, jangan pernah ketepikan seseorang dari hati anda

Apabila anda sudah melakukan semuanya itu,
Ingatlah senantiasa,
Jika suatu ketika anda memerlukan pertolongan,
Akan senantiasa ada tangan terulur.

Dan dengan bertambahnya usia anda,
Anda akan semakin mensyukuri telah diberi dua tangan,
Satu untuk menolong diri anda sendiri,
Dan satu lagi untuk menolong orang lain.

Kecantikan wanita bukan terletak pada pakaian yang dikenakannya,
Bukan pada bentuk tubuhnya, atau cara dia menyisir rambutnya.
Kecantikan wanita terdapat pada matanya, cara dia memandang dunia
Kerana di matanyalah terletak gerbang menuju ke setiap hati manusia,
Dimana cinta dapat berkembang

Kecantikan wanita, bukan pada kehalusan wajahnya,
Tetapi kecantikan yang murni, terpancar pada jiwanya,
Yang dengan penuh kasih memberikan perhatian dan cinta yang dia berikan
Dan kecantikan itu akan tumbuh sepanjang waktu.

ITULAH KECANTIKAN MUSLIMAH YANG HAKIKI...

Setiap kecantikan bagi seseorang individu datangnya daripada Allah Ta'ala.Tetapi ingatlah kecantikan paras rupa,indahnya pipi bak pauh dilayang,bibir merah umpama delima merekah,hidung yang mancung bagai seludang akan musnah jua akhirnya andai tidak dihiasi peribadi dirinya dengan cahaya keimanan dan Islam.

Zaman dahulu,orang tidak pernah terfikir bahawa dengan teknologi moden,manusia mampu merampingkan pinggang,menghilangkan kedut-kedut di muka dan memancungkan hidung.Malah di era kemodenan ini,rupa paras boleh diubah melalui pembedahan plastik dan tua boleh dilewatkan dengan memakan hormon estrogen.Malah ada segelintirnya pula sanggup mati akibat penyakit aneroxia nervosa.Ada pula yang rela bersenam berjam-jam sehari,tahan lapar berhari-hari atau membelanjakan beribu-ribu ringgit untuk tujuan tersebut.Dasyatkan.

Dan tidak hairanlah,pertandingan ratu cantik yang diadakan mendapat perhatian daripada masyarakat umum khususnya golongan remaja perempuan.Masing-masing berlumba memperagakan maruah dan harga diri untuk dipertontonkan di khalayak ramai semata-mata mengejar glamour dan nama.Dan ada pula yang sanggup menggadaikan maruah keseluruhan negara,kononnya ingin menjadi ratu cantik seluruh negara.Insaflah.

Semua permasalahan yang berlaku ini melibatkan maruah kaum wanita.Tidak cukup dengan eksploitasi wanita di media-media massa dan tabloid-tabloid tanahair,maruah wanita pula diperdagangkan untuk diimport eksportkan ke pelusuk dunia.Tubuh badan yang sewajarnya ditutup litup mengikut syariat Islam,kini bagi haiwan yang tidak terasa malu tanpa berpakaian.Dan tidak mustahil suatu hari nanti,ada pertandingan'Raja Kacak'.Kalau sekarang ada ratu cantik,mungkin menjelang tahun 2020,timbul pula pertandingan baru untuk kaum lelaki.Subhanallah.

Semua makhluk di muka bumi ini asal kejadiannya adalah dari setitis air mani yang hina,bentuknya adalah semata-mata berasal dari tanah dan kembali kepada tanah jua.Justeru itu,tiada perbezaan antara penilaian Islam dalam menilai kecantikan setiap individu.Dan janganlah kita menyalahkan takdir Ilahi seandainya rupa paras yang diciptakan oleh Allah Ta'ala mempunyai kecacatan dan kurang menarik.Bersyukurlah dengan apa yang Allah Ta'ala kurniakan.Islam tidak pernah membezakan manusia berdasarkan hubungan darah,keturunan dan suku bangsa.Namun Islam membezakannya berdasarkan taQwa kepada Allah Ta'ala.Itulah kemuliaan sebenar pada manusia.

Islam meletakkan ukuran kecantikan bukan pada raut wajah yang manis,pada putih kuning kulitnya,tubuh atau sorotan mata yang menawan,tetapi biarlah hati dan juga akalnya juga cantik.Malah kecantikan hati diletakkan paling utama,diikuti dengan kecantikan akal dan akhir
sekali barulah kecantikan paras rupa.Kecantikan paras rupa ini ada atau tidak ada,sama sahaja di sisi Allah Ta'ala.Ini jelas digambarkan berdasarkan sepotong hadis Nabi s.a.w:"Sesungguhnya Rasulullah s.a.w berkata kepada Abu Zar:"Lihatlah sesungguhnya engkau tidak dinilai mulia
kerana kulit merah dan juga kerana hitam, sebaliknya mulianya kamu dengan sebab taQwa"(Riwayat Ahmad).Bukan itu sahaja,malahan Islam mengukur kecantikan dengan melihat kebersihan dari segala unsur yang bertepatan dengan ketentuan Allah Ta'ala.

TaQwa itulah yang dimaksudkan kecantikan hati.hati yang cantik adalah hati yang sangat sensitif terhadap Allah Ta'ala.Merasakan kehebatan dan kebesaranNya sehingga merasakan diri sangat hina dan lemah.Perasaan yang lahir inilah yang dapat menyingkir segala sifat-sifat "kesyaitanan" dalam hati manusia seperti pemarah,ego,bangga diri,sombong,rakus dan sebagainya.

Inilah falsafah kecantikan sebenar menurut Islam.Justeru itu,mereka yang cacat fizikalnya atau tidak menarik dinilai,adalah orang yang tercantik di dunia jika di dalam tubuhnya yang cacat itu bersemayam megah jiwa atau batin yang cemerlang dan sentiasa dicuci dengan Nur Ilahi. Sedangkan orang yang memiliki tubuh badan yang sempurna,cantik dipandang mata dunia, sebaliknya di dalam jiwa mereka bersarang istana-istana syaitan,mahligai iblis dan dipenuhi oleh kemusyrikan akidah yang terpesong dari landasan Islam.Perkara ini diistilahkan oleh al-Quran
umpama mereka yang najis.

Ingatlah,setiap individu tidak akan merasakan sebarang kerugian andaikan kecantikan hati menjadi buruan setiap wanita. Bukannya Allah Ta'ala yang akan mendapat keuntungan tersebut, tetapi manusia itu sendiri.Lihatlah,betapa banyak manfaatnya bila kecantikan hati menjadi
buruan utama setiap wanita.Antaranya ialah;

1) Dihindari Dari Bahaya

Setiap wanita berperanan melindungi kecantikan paras rupanya daripada dipertontonkan di khalayak umum,lebih terselamat dari bahaya fitnah dan gangguan.Umpama intan berlian seandainya dipertunjuk- tunjukkan,akan menarik perhatian pencuri,dan begitulah sebaliknya.

2) Mengelakkan Pembaziran

Memburu kecantikan paras rupa memakan kos yang sangat tinggi.Berbagai-bagai usaha yang dilakukan untuk mencari alat-alat kecantikan wajah,"make up",membesarkan sanggul dan bahagian-bahagian yang tertentu yang mungkin boleh menarik perhatian orang kepadanya untuk
menutup keburukan yang dialaminya itu.Akan tetapi,memburu kecantikan hati tidak memerlukan belanja yang tinggi.Sewajarnya wang yang digunakan untuk membeli alat kecantikan wajah dipergunakan untuk soal-soal yang lebih penting seperti mendapat pendidikan yang baik,menolong faQir miskin,kerja-kerja yang bermanfaat untuk agama,masyarakat,bangsa dan
negara.

3) Membina Kasih sayang Yang Hakiki

Kecantikan yang dinilai pada hati,ia akan lebih berkekalan,berbanding dengan kecantikan yang dinilai pada paras rupa.Kecantikan hati tidak akan luput.Umpamanya,kasih sayang seorang suami
terhadap isterinya kerana hati atau akhlaknya akan kekal lama.Kunci kasih sayang dalam sesebuah keluarga ataupun masyarakat adalah ikatan hati yang sentiasa berpaut antara satu sama lain.

4) Melahirkan Masyarakat Yang Harmoni

Hati yang terdidik dalam mengejar kecantikan yang sebenar akan dapat menyuburkan sifat-sifat terpuji seperti pemurah,sabar, pemaaf, bertolak ansur,lemah lembut,redha atas segala pemberian Allah Ta'ala,cintakan akhirat,cintakan Allah Ta'ala dan sebagainya.akan selesai dan hilanglah
perasaan buruk sangka,umpat dan kata,menipu dan pecah belah dalam rumahtangga serta sebagainya.

Begitulah besarnya hikmah mengapa Allah Ta'ala meletakkan kecantikan hati sebagai buruan utama setiap wanita.Tidak hairanlah,mengapa para hukama' yang mengatakan:"Bila baik wanita dalam sesebuah negara,baiklah negara tersebut".Oleh yang demikian.wanita yang benar-benar menginginkan lebih hak membangunkan negara,perlulah dia memperjuangkan diri dalam
memburu kecantikan hati.

Sesungguhnya ukuran kecantikan wanita muslimah yang dapat dinilai dari kaca mata Islam yang sebenar ialah;

- Dengan imannya yang mendalam,yang memakmurkan hatinya dan melapangkan dadanya serta menggerakkan syiarnya.

- Dengan akalnya yang bijak sana dan fikiran yang bercahaya serta berpandangan yang luas.

- Dengan tingkahlaku dan akhlaknya yang mulia serta amalannya yang soleh.

- Dengan kecintaannya terhadap Allah Ta'ala,sentiasa mengingatinya, melaksanakan segala perintahnya danmeninggalkan segala larangannya dan mengikut sunnah Rasulullah s.a.w

- Dengan ikhlas kepada suaminya dan memuliakannya serta bersolek untuknya,mentadbir dan mentarbiah anak-anak menjadi generasi yang cemerlang.

Sifat-sifat inilah yang sepatutnya menjadi dasar pilihan muslimin dalam membina dan membentuk sebuah mahligai kebahagiaan untuk mendirikan rumahtangga kepada muslimat.Nabi Muhammad s.a.w pernah berpesan dalam hadisnya:"Apabila datang(meminang)kepada kamu seorang lelaki yang kamu sukai akan akhlaknya dan agamanya,maka kahwinilah dia.Kalau kamu tidak berbuat demikian,kelak akan berlaku fitnah di atas muka bumi,kerosakan yang merata"

Maksud kerosakan yang merata itu ialah kalaulah lelaki yang baik agamanya tidak menjadi pilihan kepada seorang wanita itu dan tidak mengambil kesempatan untuk berkahwin dengannya,maka sudah tentu dia akan memilih lelaki yang sebaliknya.Pilihan ini akan membawa kepada fitnah
dalam hidupnya lantaran agamalah yang menjaga kedamaian rumahtangga.
Wallahu A'lam..


No comments:

Post a Comment